Kuala Lumpur, Malaysia

SOLAT

SOLAT


  June 06,2012 

Maka, apabila kita membincangkan bagaimana mahu mendidik anak-anak mendirikan solat, tiada yang lain melainkan kita mengikut jejak Rasulullah s.a.w. yang telah meninggalkan pesan bahawa, anak-anak perlu disuruh sembahyang seawal usianya tujuh tahun.

Ini bermakna pada usia ini anak-anak sudah mula boleh faham apa itu kehidupan beragama. Maka berlemah-lembutlah dalam mengajar anak-anak mendirikan solat, jangan sekadar menyuruh sahaja. Ajarlah mereka bagaimana untuk mendirikan solat – sama ada ibubapa sendiri mengajarnya mahupun dari sumber-sumber yang sewajarnya, seperti di sekolah yang lazimnya akan mengadakan Kem Solat beberapa kali dalam setahun. Alhamdulillah!

Mencapai umur anak-anak ini 10 tahun, mereka sudah boleh dipukul seandainya masih liat untuk solat.

Ini bermaksud bahawa pada umur ini sebenarnya anak-anak sudah dapat memahami nilai kehidupan beragama dengan lebih sempurna. Sepatutnya jiwa mereka sudah terkesan dengan  keperluan hidup beragama dan mereka sudah faham tentang kefardhuan solat keatas setiap Muslim.

Kebiasaannya pada umur 10 tahun anak-anak belum mencapai tahap aqil baligh, tetapi sudah menghampiri baligh iaitu usia taklif. Disinilah kita dapat lihat bahawa didikan Islam itu sangat sempurna – jika mahu mendidik, didiklah anak-anak diawal usia. Jika mereka sudah mencapai umur aqil baligh maka keadaan bukan lagi sama, jiwa remaja yang kerapkalinya suka ‘memberontak’ mungkin akan memberi kesukaran kepada ibubapa untuk membentuk keperibadian anak-anak ketika ini.

Maksud memukul pula adalah dengan maksud mendidik, bukan untuk mendera. Memukul juga bukan di bahagian wajah yang merupakan kehormatan seseorang, tetapi pada anggota badan yang lain.

Namun jika kita melihat kewajipan solat ini masih dibuat acuh tidak acuh kepada anak-anak seusia ini, ia memberi petanda awal bahawa jiwa mereka belum terbina sempurna dengan nilai kehidupan beragama. Maka disinilah perlunya ibubapa mengambil sepenuh usaha untuk memperbetulkan keadaan sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Tetapi jangan pula asyik memukul anak-anak tanpa dinasihati dan diperbaiki kesilapan mereka. Emosi anak-anak juga haruslah dijaga agar mereka tidak terganggu perkembangan psikologinya. Sepatutnya mereka telah faham mengapa kita telah bertindak sedemikian ketika menghukum.

Namun, jika ada ibubapa yang terlewat dalam mendidik ia bukanlah sesuatu yang terlambat untuk berubah kearah yang lebih baik. Maka, bukan sekadar kita mahukan anak-anak yang berubah, tapi mulakan dengan ibubapa terlebih dahulu. Pastikan kita menunjukkan contoh teladan yang terbaik, mudah-mudahan anak-anak ini secara tidak langsung mengakui kebaikan ibubapa mereka.

 

Newsletter Sign Up

For Latest Updates