Kuala Lumpur, Malaysia

RAMADHAN MUBARAKH!!!!!

RAMADHAN MUBARAKH!!!!!


  August 01,2011 

Ramadhan – satu bulan yang merupakan anugerah terbesar daripada Allah s.w.t. buat semua hambaNya.

Jika Rejab dan Syaaban adalah bulan latihan mendidik diri, maka Ramadhan adalah waktunya untuk kita semua menjadi yang terbaik. Tanyalah kepada mereka yang cintakan ibadat, yakinlah bahawa Ramadhan ini merupakan satu bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Bulan yang berlipat ganda pahalanya bilamana setiap apa saja yang kita lakukan, akan mendapat balasan berganda.

Sewajarnya sebelum pintu Ramadhan dibuka luas – dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan durjana – marilah kita sama-sama berperanan untuk menggilapkan kembali warna hati yang mungkin sudah kelam dibelenggu dosa-dosa yang berpanjangan sepanjang setahun berlalu.

Ramadhan membuka luas peluang untuk kita semua menundukkan nafsu yang selama ini bertemankan syaitan. Inilah ketikanya kita perlu meninggalkan pelbagai peringkat maksiat dalam kehidupan. Bukan melihat kepada maksiat yang berdosa besar sahaja, tetapi yang kecil-kecilan juga harus kita usir jauh dari menguasai diri sepanjang Ramadhan ini.

Namun, mungkin juga nafsu kita akan menjadi makin berganda-ganda walaupun kala ini tiada lagi syaitan-syaitan yang mampu menjinakkan hati. Dimana silapnya? Kita sendiri! Yang ‘tidak sempat’ mendidik nafsu untuk menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh kemuliaan.

Ramadhan bukan sekadar melaksanakan ibadah puasa, bukan hanya berlapar dahaga sahaja, tetapi lebih bermakna dari itu. Ramadhan mengajar kita membina kekuatan diri dari dalam, dengan menundukkan nafsu sendiri, lantas mudah-mudahan mampu diperlihatkan peribadi yang lebih elok dibandingkan sebelumnya.

Ramadhan juga adalah waktunya untuk kita belajar mengawal nafsu makan. Belajar untuk menggunakan akal ketika bersahur dan berbuka puasa. Jangan menyalahi fitrah berpuasa yang sebenarnya bertindak untuk membawa keberkatan dalam kehidupan, bukannya menjurus kearah pembaziran berleluasa.

Bersederhana ketika makan insyaAllah mampu mendidik kita mensyukuri segala kurniaan pada hari tersebut, memberi ketenangan ketika menjamah rezeki, seterusnya memberi kekhusyukan dalam menjalani ibadat lain sepanjang Ramadhan ini. Makan secara berlebihan hanya akan mengakibatkan rasa kenyang yang keterlaluan, kesannya kita akan rasa malas dan lalai dalam melaksanakan ibadat sampingan.

Jika Ramadhan tidak mampu mengubah diri kita kearah yang lebih baik, maka bukan lagi syaitan yang galak menggoda, tetapi nafsu sendiri yang sedang bermaharajalela bertapak di hati. Sebelum hadirnya Ramadhan kali ini, marilah kita bermuhasabah diri mudah-mudahan akan bertambahlah nilai keimanannya dan sempurnalah perlaksanaannya. InsyaAllah!

 

Newsletter Sign Up

For Latest Updates